Friday 2 September 2011

Aku bukan wanita mulia


Bau tanah ditampar renyai hujan menyentuh deria baunya. Dia melihat dari jauh sosok berkelubung putih berjalan perlahan membelah kabus pagi yang tebal dan dingin. Dia yakin sosok itu milik seorang wanita kerana kerudung di atas kepalanya yang terletak indah dibuai nakal sang bayu pagi. Dia melajukan langkahnya, hayunan kaki dibesarkan cuba mengejar wanita itu, seakan ada satu tarikan yang ia tiada upaya untuk tolak. Semakin ia menghampiri, semakin wanita itu menjauh, sehingga lelah menghambat peluh dingin keluar daripada liang tubuhnya. Dia ingin menegur namun gusar andai dia menakutkan wanita itu pula. Lalu dia berlari anak sambil menahan serbannya yang hampir tercabut.
“Wahai pemuda! Tidak malukah kau mengejar aku, bersaksikan serban mulia di kepalamu?” Suara wanita itu menghentikan langkahnya, cepat-cepat ia kesat peluh di wajahnya sambil membetulkan serban di atas kepalanya.
“Wahai wanita mulia, aku Cuma tertanya-tanya, siapakah gerangan kamu, yang berjalan sendirian di pagi dingin, membelah kabus? Ke mana destinasimu, mana tahu aku bisa menjagamu dari belakang andai ada yang berniat jahat.” Dia memberanikan diri untuk bersuara. Wanita di hadapannya tetap juga tidak menoleh, hanya hembusan nafas yang berat kedengaran.
“Jangan kau risau, Allah ada untuk menjagaku. Risaulah tentang dirimu, tentang niatmu wahai orang muda! Allah tidak pernah lengah pada setiap suara hati yang terlintas, pada setiap denyut hati yang bersuara.” Wanita itu membetulkan kerudungnya, cuba meloloskan diri daripada perhatian pemuda itu.
“Nanti! Adakah kau pasti, untuk terus bersendirian menelusuri jalan ini? Aku khuatir andai apa-apa berlaku padamu.” Lama wanita itu membatu, kemudian dia menoleh ke belakang, sambil menyembunyikan sebahagian wajahnya. Terlihat jelas di matanya, sepasang mata bening cuba memberitahunya untuk berlalu pergi.
“Jika benar kau khuatirkan diriku, pergilah kau dari sini, itulah perkara yang akan menyelamatkanku dan kamu. Tolong kau pergi dari sini wahai pemuda mulia, aku bukan seperti sangkaanmu.” Dia terpinga-pinga dengan jawapan wanita itu, cuba mentafsir apa disebalik kata-kata itu.
“Tapi….” Belum sempat dia menghabiskan kata -katanya, wanita itu telah  berjalan laju, tenggelam dalam kabus tebal. Kemudian ia merasakan goncangan yang maha kuat, melempar tubuhnya jauh.
“Zikri, bangun! Ya Allah, kita dah terlambat bersahur! Lagi setengah jam masuk subuh!”  diraub wajahnya yang berkeringat lebat, mulutnya berisitighfar berkali-kali, mengingat mimpi aneh yang telah beberapa hari mendatangi tidurnya. Dadanya jadi sesak dan sebak setiap kali terjaga daripada tidurnya. Tuhan, apa yang Kau cuba khabarkan padaku? Siapa wanita itu? Siapa pemilik sepasang mata itu?bingkas dia bangun dari pembaringan. Membersihkan tubuhnya, bersahur sekadar beberapa butir kurma dan segelas air kosong, kemudian menyungkur sujud pada Allah, memohon petunjuknya pada apa yang berlaku. Sengaja dia berlama dalam sujudnya cuba merungkai segala rusuh yang bergumpal dalam nubarinya.
Adakah mimpi itu berkait dengan niatnya untuk bernikah? Adakah wanita dalam mimpi itu adalah wanita sama yang ingin dia pinang? Kerana mata bening itu benar begitu tidak asing baginya, telah pun singgah di hatinya, wanita mulia yang dia kenal di Mekah itu. Wanita yang dia lihat sering bersendiri itu, yang baginya memiliki hati yang begitu khusyuk dalam melakukan apa sahaja. Sering dia terlihat wajah suram bersalut duka wanita itu ketika berjalan menelusuri jalan-jalan di Masjidil Haram, tangannya sentiasa mengesat mata yang berair. Kagum nian dia pada wanita itu hingga hatinya begitu tertarik pada Izzah yang terpancar , seolah-olah terpukau lalu ia nekad untuk mengambil wanita itu sebagai pedamping hidupnya. Namun dia tidak tahu bagaimana untuk mendekati wanita itu, sudah pun dia nyatakan hasratnya pada Mursyidnya, untuk merisik wanita mulia itu. Tiada khabar yang diterima dari mursyidnya, sehingga dia kini telah pulang ke tanah air, mengusung sebuah harapan yang masih subur agar Allah menemukan dia kembali dengan wanita itu.
“Zikri, ustaz dapat maklumat tentang wanita itu, namanya Zinnirah, dia telah pulang ke tanah air, sekarang menetap di sekitar Kuala Lumpur, sama di tempatmu sekarang. Ustaz Berjaya mendapat alamatnya juga nanti ustaz emailkan.”Suara mursyidnya di hujung talian, menyebabkan hatinya berbunga-bunga, rupanya ustaz dalam diam melakukan sesuatu dan harapannya kian menggebu.
Dia akan pergi menemui wali wanita itu, meminta dengan penuh takzim dan hormat pada sebuah ikatan pernikahan. Dia nekad dan pasti. Selepas sahaja dia menerima email daripada mursyidnya, dia mula merancang strategi, dia mahu bertemu ayah wanita itu dahulu, kemudian jika semua berjalan dengan baik, baharu dia akan mengkhabarkan pada ibu dan ayahnya. Dengan lafaz basmallah, dia memulakan langkahnya, menuju rumah seperti alamat yang tertulis di atas cebisan kertas di tangannya. Mujur tidak begitu jauh daripada tempatnya menetap. Dia kemudian Berjaya menemui rumah tersebut, berdiri dia di hadapan pintu pagar besi bermangga besar. Rumah itu kelihatan sepi, bagai tiada penghuni. Dia jadi hairan, berdiri lama di situ. Kemudian seorang tetangga keluar menegur.
“Encik cari siapa?” Seorang lelaki berkain pelikat menegurnya di muka pintu, berjalan menghampirinya.
“Er..saya cari Cik Zinnirah, ini rumah dia kan?”
“Eh dah beberapa bulan dia pindah encik. Kenapa encik cari perempuan sundal tu? Dia ada buat hal dengan encik ke? Saya Nampak encik ni macam orang baik-baik, mustahil pula perempuan macam Zinny tu ada kawan seperti encik ini.” Lelaki itu selamba memuntahkan kata-kata berbau hanyir.
“Apa maksud encik? Zinnirah tidak melakukan apa-apa, saya mahu berjumpa ayahnya sahaja. Itu tujuan saya ke sini. Terima kasih atas makluman tentang zinnirah sudah berpindah, yang lain itu saya tidak terima.” Terus dia mahu berlalu, hatinya sakit mendengar kata-kata nista daripada lelaki itu.
“Terpulanglah kalau encik tidak mahu percaya, saya jirannya, saya tahu dia bagaimana. Kupu-kupu malam sepertinya mana boleh hidup menetap, sentiasa dikejar polis. Sentiasa perlu berpindah.” Kata-kata lelaki itu menyerbu kasar pendengarannya, hatinya panas, sejurus itu dia beristighfar dan berlalu pergi.
Benarkah wanita yang dia lihat di Mekkah itu wanita kupu-kupu malam? Mengapa cahaya Izzah yang terpancar daripada wanita itu begitu menyilau? Dia bingung seketika, antara tidak percaya dan tertanya-tanya. Namun peristiwa itu tidak menghentikan hasratnya. Dia makin sering berdoa dan tekad, langkahnya ke masjid seperti selalu juga. Dia tanamkan harapannya di rendang pohon pengharapanNya.
Suatu pagi ketika pulang dari solat subuh di masjid, dia terlihat kelibat Zinnirah, seperti biasa berpurdah hitam, dia sangat pasti itu. Terus dia mengekori Zinnirah, ingin mengetahui di mana tempat tinggalnya. Dia tahu, Zinnirah sedar akan perlakuannya , dia dapat rasakan jelingan mata Zinnirah yang cuba melarikan diri daripadanya. Ketika dia cuba melintas jalan, kelibat ZInnirah sudah lesap, dia kesal sendiri. Menyumpah langkahnya yang lambat sambil berdoa agar esok dia bertemu lagi Zinnirah di masjid namun berminggu-minggu penantiannya sia-sia, kelibat Zinnirah tidak pernah kelihatan lagi.
“Abang, ini ada surat daripada kakak Zinnirah.” Seorang anak gadis, malu-malu menyuakan sepucuk sampul biru yang mencetuskan debaran kuat di dadanya. Paluan debaran itu menyebabkan dia tidak sabar untuk membongkar isi surat itu.
Bismillah, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah.

Biarlah saya berterus terang melalui surat ini sahaja. Wahai pemuda, saya sudah dikhabarkan tentang hasratmu, namun saya harus nyatakan di sini, lupakanlah hasratmu itu, kuburkannya sedalam-dalamnya, kerana ia tidak mungkin akan berlaku. Saya tidak akan menerima mana-mana lamaran. Saya bukan seperti sangkaanmu, saya bukan wanita mulia, saya wanita tercemar yang tidak mungkin akan diterima masyarakat biarpun saya telah membasuh segala dosa-dosa saya dengan air mata nasuha, itu tidak mungkin akan mengubah pandangan mereka terhadap saya, malah ibu dan bapa saya sendiri tidak dapat menerima dosa-dosa yang saya pernah lakukan.

Mereka sudah membuang saya, seperti juga masyarakat di sekeliling saya. Saya juga tidak pasti andai taubat saya diterima Allah, kerana dosa saya terlalu banyak, buih-buih di lautan tidak mungkin bisa menjadi bandingannya. Saudara, ketika masyarakat menghukum saya atas dosa-dosa itu, saya mengharapkan pengampunan Allah masih terbuka luas, ketika mereka membuang saya daripada menjadi sebahagian daripada mereka, wanita-wanita kupu-kupu malam di lorong-lorong gelap itu yang memberi saya tempat untuk makan, minum dan tidur. Hanya di situlah saya diterima sebagai insan yang pernah melakukan dosa. Mereka menyayangi saya dan melayan saya dengan baik, biar hari-hari mereka bergelumang dosa, mereka tahankan telinga mendengar seruan saya agar mereka kembali ke pangkal jalan, biarpun tidak semua yang menerima seruan itu, mereka masih menganggap saya sebahagian daripada mereka. Mereka insan yang dipandang bergelumang dosa itu menerima saya berbanding manusia yang mengaku suci.

Biarpun buta mata ini kerana menangis, masyarakat tidak akan berhenti memalitkan perkataan ‘sundal’ pada diri ini. Ya, saya bukan wanita suci wahai saudaraku. Saya sedang dihukum dengan dosa-dosa lalu akibat jauh daripada pegangan agama dan terlalai dengan dunia. Saya redha dengan sakit ini, saya sabar menerima segalanya, inshaallah. Apa saya bisa lakukan jika manusia tidak dapat menerima lagi saya yang hina ini. Tidak hairanlah begitu ramai wanita yang senasib dengan saya, yang mahu kembali ke jalan Allah, namun kemudiannya kembali ke jalan noda, kerana masyarakat yang membuang mereka. Saya saban malam memohon kekuatan, moga Allah tidak tarik kembali hidayah ini, biarpun kaki saya setiap hari memijak lorong-lorong gelap itu dan dalam hati saya sentiasa berdoa agar Allah selamatkan semua wanita-wanita yang senasib dengan saya daripada kekejaman hukuman manusia yang mengaku suci.

Wahai pemuda, engkau kulihat golongan baik-baik, yang miliki prasangka yang baik pula terhadap orang lain, oleh kerana hatimu yang baik. Saya berani katakan, hanya wanita kurang akalnya sahaja yang akan menolak lamaranmu. Namun demi kemuliaanmu, saya dengan berat hati menolak lamaranmu, saya tidak mahu mencemarkan generasi suci dengan darah kotor dan hanyir milik insan seperti saya. Mengertilah wahai pemuda, saya bukan wanita mulia seperti sangkaanmu. Saya penghidap AIDS dan menghitung hari untuk bertemu Allah. Lupakan diriku kerana Allah, moga jika jodoh kita bukan di dunia, di akhirat kita akan bertemu, inshaallah.

Wanita kotor,
Zinnirah

Sayu dan pilu bersatu dalam sendu. Dia membaca berulang-ulang kali surat itu. Mahu sahaja dia menjerit pada seantero dunia, bahawa Allah itu Maha Pengampun biar sebesar mana dosa hambaNya, jadi mengapa kalian yang bergelar insan begitu bersikap angkuh, sewenang wenangnya mencanang kata-kata nista yang menghukum. Kesal dan kecewa bergumpal dalam jiwa. Dia mencari kembali kelibat gadis yang memberinya surat itu.
“Adik boleh abang bertanya. Di mana tempat kak Zinnirah tinggal sekarang?” wajah anak gadis itu serta merta berubah mendung, ada air mata tersisa.
“Abang, kak Zinnirah sudah pergi meniggalkan kita. Jenazahnya diuruskan pihak hospital kerana dia penghidap AIDS. Dia sudah disemadikan di kawasan berdekatan hospital keran tiada waris yang menuntut jenazahnya. Surat itu dia berikan pada saya ketika dia tenat di hospital dan pesannya berikan pada abang yang berjubah putih dan berserban biru.” Kata-kata gadis itu bagai halilintar, serasa hatinya hangus mendengar khabar itu.
Air mata lelakinya jatuh menyentuh dadanya. Subhanallah, kau wanita suci ZInnirah, di sisi Tuhan jika kau diampunkan ketika kau menangis di hadapan Kaabah. Kau suci daripada dosa, ketika kau redha dan bersabar dengan segala ujianNya, ketika kau menanggung sakit daripadaNya, ketika kau sabar menerima hukuman masyarakat yang mengaku suci , yang membuangmu. Sedangkan mereka yang mengaku suci itu belum tentu juga nasibnya bagaimana. Oh! manusia mana yang suci daripada dosa? dia beristighfar berkali-kali cuba menenangkan taufan dijiwanya. Mengertilah dia akan mimpinya selama ini. Tuhan temukan dia dengan Zinnirah biarpun hanya dalam mimpi. Zinnirah, di mataku kau tetap wanita mulia dan suci yang berjalan menuju Allah. Zinnirah, moga kau diampunkan olehNya, moga kau beroleh syurgaNya! Amin, thumma amin.

No comments:

Post a Comment